Sunday, May 11, 2014

GARIS, ALOR DAN BENTUK


Pameran yang diberi tema GARIS, ALOR dan BENTUK ini merupakan pameran solo ke-tiga Ambassador Dato’ Mohd Yusof Ahmad. Dua pameran solo sebelum ini telah di adakan di Galeri Universiti Malaya dan Institute of Diplomacy and  Foreign Relation (IDFR). Dalam tempoh waktu setahun, kesungguhan beliau dalam minat yang mendalam terhadap seni lukis terserlah dengan aktiviti berpameran secara solo. Kali ini destinasi Melaka, di Boustion House yang terletak bersebelahan Kota A Famosa menjadi ruang pameran untuk mempamerkan hasil-hasil karya kreativiti Dato’Ahmad Yusof. Pameran kali ini telah menghimpunkan sejumlah karya yang dihasilkan oleh beliau  yang  terdiri daripada pelbagai bentuk, jenis dan medium. Tujuan utama pameran ini adalah untuk memahamkan khalayak akan hasil karya Ambbassador Dato’ Mohd Yusof Ahmad di dalam penghasilan sesebuah karya lukisan dan sekaligus memperlihatkan hasil eksplorasi kreativiti beliau dalam penghasilan lukisan.
Pameran ini boleh dikatakan sebagai lanjutan dari dua buah pameran yang disebutkan pada awal tadi. Sekiranya pameran solo pertama beliau membicara soal-soal kepentingan warna dalam membentuk estetik personal, pameran ini pula menyentuh kepentingan variasi explorasi beliau terhadap garis dan bentuk. Feldman (1981), telah memecahkan fungsi visual kepada tiga bahagian ketika ia cuba untuk meletakkan kepentingan pengalaman seseorang (pelukis) berlandaskan visual iaitu berfungsi secara personal, sosial dan fizikal. Namun ketika ia menulis berkaitan fungsi visual secara personal, yang dititik beratkan adalah ekspresi secara psikologi yang boleh dilihat pada bentukan-bentukan prinsip dan unsur seni yang pelukis ciptakan.

Ini boleh saja dapat kita dilihat pada karya-karya yang dipamerankan didalam pameran ini bersandarkan interpretasi kita sendiri. “Karya seni meskipun dalam arti tertentu mempunyai kemiripan dengan alam, namun ia sudah tercabut dari kenyataan alamiah”. Yang dimaksudkan ‘tercabut’ adalah ketika seni itu diciptakan dan setiap penciptaan seni itu mengambil pola dari prinsip pembentukan simbol. Di sini dapatlah kita fahami ketika melihat karya-karya bekas diplomat ini. Apa yang menjadi kepentingan kepada beliau adalah cubaan-cubaan beliau menterjemahkan alam melalui garis dan bentuk yang di jelmakan ke atas kertas lukisan. Kepelbagaian saiz garis, kepelbagaian warna garis, kepelbagaian jalinan garis dan titik yang muncul merupakan ekspersi beliau. Sementara bentuk-bentuk yang dicitrakan merupakan hasil kemungkinan-kemungkinan yang tercipta dari garis-garis yang beliau eksplorasi sendiri.

Karya dari siri-siri “Lines and Curves”, secara tegas memaparkan kepada kita akan kepelbagaian bentuk, warna dan saiz terhadap garis-garis yang mendominasi lukisan tersebut. Begitu juga dengan karya dari siri “Rumput Syurga”, cubaan beliau dalam merepresentasi rumput amat berbeza, sepertimana yang ada pada dunia realiti yang kita sedari adalah rumput hanya sekadar berwarna hijau atau hijau kekuningan ketika ia kering. Selain dari itu karya-karya yang bersifat spiritual beliau, jelas meletakkan tanda nama “Allah” di atas permukaan garis-garis yang dibentuk dengan pelbagai warna. Bentuk-bentuk utama yang sering kita lihat seperti segitiga, bulat , segi empat pula menjadi pilihan beliau sebagai salah satu reka corak komposisi yang beliau ekplorasi. Ini boleh kita lihat melalui karya-karya seperti “Aeronautica”, Siri “Maze”, “Geliga Embun”, dan banyak lagi.

Pameran ini tidak bertujuan untuk memberi gambaran yang complicated terhadap pemerhati melalui hasil kaya non-representational, bahkan bukan juga bertujuan untuk membuatkan khalayak juga boleh mencuba menjadi pelukis dengan hasil karya yang di lihat, tetapi pameran ini adalah sebuah bentuk perkongsian seorang pelukis yang memegang gelaran Ambasador. Beliau bukan sahaja berjaya dalam sistem hubungan sesama manusia ketika menjadi diplomat, tetapi hubungan ini juga di munculkan dengan setiap garis, alor sehingga terjadinya bentuk dalam sesebuah karya seni lukis. Semoga dengan kesungguhan, minat dan keyakinan Dato’ Mohd Yusof ini di teruskan demi mewarnai seni lukis Malaysia.

Selamat menikmati hasil karya seni dari seorang Ambassador

Erry Arham Azmi
10 Mac 2014



















No comments: