Sunday, May 11, 2014

FAIZAL SUHIF DAN KITA - TANAH AKU KEMBALI


Penulisan ini telah diterbitkan didalam katalog Pameran Solo Faizal Suhif, Galery G13


Ketika khalayak memasuki ruang ke Galeri G13 satu ketika dahulu, pasti ada yang teringat dengan tanah yang disusun dalam ruang pameran tersebut. Ketika khalayak yang hadir itu datang dari latar bidang yang berlainan, maka pasti bervariasi persepsi yang diberi. Faizal tak pernah lupakan tanah, ah! Ini pasti klise dengan penulisan orang lain yang memberi makna bahawa Faizal seorang yang ingin berbudi pada tanah. Untuk apa tanah asli itu disusun dalam ruang pameran, apa signifikannya atau apa estetiknya tanah pada karya seni moden yang digantung di dinding ruang pameran. Faizal nekad, dia tidak peduli pada persepi orang lain, Nah! ketika ini ego sentrik seorang perupa mula muncul. Sifat keakuan itu pasti bertolak dari falsafah moden yang diasimilasi dalam kehidupannya, ya! saya pasti juga ia wujud dalam diri kita semua.

Sekali lagi Faizal membawa tanah-tanahnya ke dalam ruang pameran untuk kali ini. Katanya “saya mahu lihat semacam satu jalan dan di hujung sudut itu saya buat macam tanda kubur”. Faizal mahu bicara soal apa sebenarnya dengan pameran ini, adakah Faizal mahu bicara soal mati? Ya! yang pasti kita semua akan merasai mati, tidak akan ada yang terkecuali. Hakikatnya secara visual, Faizal sedang membuat batas, batas tanah bertani, Faizal sekali lagi meyakinkan bahawa dirinya berketurunan petani, dan Faizal juga sedang membuat batas kuburan, budaya masyarakat melayu sesetengah tempat yang percaya bahawa dengan batas tersebut mampu memisahkan antara satu kubur dengan kubur yang lain. Ada bentuk-bentuk sayuran yang di casting dan di susun secara bulatan dalam ruang pameran sebagai tanda keberhasilan bertani. Faizal pernah sekali menyatakan kepada saya bahawa pasti juga nanti ada pemerhati yang bijak dalam seni menanggapi bahawa tanah-tanah ini tidak perlu pun untuk di instal dalam ruang pameran. Usah khuwatir Faizal kerana itu adalah tanggapan seorang modenis yang sekadar mahu melihat karya di dinding pameran di jual. Tanah asli di ruang pameran itu tidak bisa dijual dan sekadar menganggu ruang apresiasi karya, tetapi kiranya tanah asli itu berada di ruang jalan besar atau di ruang iklan tanah untuk dijual, itu pasti sangat bernilai. Sedangkan di dalam tanah kubur itu juga akan dinilai nanti. Maka itu, setiap apa sahaja tingkah laku dan pekerjaan yang Faizal usahakan adalah sangat bernilai sekiranya difahami secara tassawuf moden islam dan bukannya dengan falsafah moden barat. Titik.

Lantas apa pula kaitannya tanah dengan karya yang di gantung di dinding pameran. Kata Faizal “semua ini jalinan tampak tanah yang saya salin semula di atas permukaan kanvas. Bagi saya, kita sentiasa berjalan di atas tanah dan ada ketika kita lupa yang kita sentiasa melepasi tanah-tanah yang kita pijak. Ini sebagai sebuah bentuk pemahaman bahawa kita semua harus sentiasa peka pada setiap masa, ketika dan di mana kita berada”. Menuruti kepada permaknaan yang diberikan oleh Faizal itu, maka ia hanya memberi makna di sebalik visual melalui citarasanya. Soalnya mengapa jalinan tampak dan sentuh tanah ini yang menjadi pilihan hati Faizal. Pasti sudah ada yang menulis bahawa Faizal seorang perupa yang menjadikan seni cetak sebagai karya utamanya, maka kesan jalinan ini di ekplorasi oleh Faizal untuk mendapatkan kesan yang unik dan menarik. Atau pun Faizal sebagai anak petani yang sentiasa bermain dengan tanah merasakan bahawa jalinan tampak dan sentuh tanah adalah satu visual yang menjadi subjeknya. Atau pun Faizal seorang yang romantis membawa kisah nostalgianya di kampung ke atas permukaan kanvas. Semuanya ada kaitan dengan Faizal, cumanya saya lebih suka menanggapi bahawa Faizal sedang lagi takut untuk meninggalkan perkara-perkara eksplorasi dan nostalgia itu. Di satu saat ketika Faizal berbicara soal mati dan mengingatkan tentang kematian melalui metafora tanah itu, dan di satu saat Faizal mengingatkan kita tentang pentingnya berbudi pada tanah, maka di saat itu juga kesan oposisi jelas membayangi diri Faizal. Sampai waktu apa akan terjadi, itu yang berbolak balik dalam diri Faizal dalam cubaan untuk menjadi hamba yang baik dalam kehidupan dunia fasa ke-empat yang dimonopoli pemerintahan diktaktor. Soalnya bisakah Faizal dan kita menjadi hamba yang baik?

Karya seni dan tanah di ruang pameran ini adalah sebagai permainan Faizal untuk berbica soal hati, soal keyakinan, soal mencari, soal ketaatan, soal bagaimana Faizal dan kita nanti kembali kepada yang asal. Manusia seni sekadar memberi apresiasi tentang bentuk-bentuk tangible yang Faizal bawakan dalam ruang galeri. Ketika perasmian pameran nanti pasti ada yang sedang memerhatikan karya secara tajam, mungkin ada yang serius dan di selang seli gelak ketawa ketika bicara soal karya, bicara soal jual beli, atau bicara soal lain di luar konteks pameran. Belum pernah saya melihat seorang pemerhati karya menangis ketika mengamati karya lukisan, atau menangis ketika membicarakan soal karya Faizal, dan saya kira itu tidak mungkin berlaku kerana sekali lagi walaupun ada yang bisa mendalami dan memahami apa yang Faizal cuba sampaikan, ego sentrik itu yang akan membatasi dari terkeluarnya tangisan kita nanti. Mustahil untuk menangis di khalayak dalam ruang pameran lukisan. Faizal seorang khalifah sedang lagi berdakwah untuk dirinya dan kita semua. Soal estetik yang kita pelajari dari barat mungkin kita boleh simpan di dalam kocek buat seketika. Soal gangguan kewujudan tanah dalam ruang pameran, mungkin bisa kita amati buat seketika. Mari kita bicara soal hati, ke mana kita selepas ini, yang ada cuma saat ini, semalam sudah pergi, esok belum tentu lagi, ke atas tanah kita berbakti dan ke dalam tanah kita dikebumi. Faizal sudah menjalankan kewajipannya sebagai hamba, kita pula insha Allah.

Untuk diri sendiri terutamanya dan untuk yang lain juga, selamat menikmati karya Faizal Suhif, semoga kita menemui jalan yang lurus. Ayuh ! Sokong seni lukis kita.

19 Februari 2014















No comments: