Saturday, May 18, 2013

WASH itu MEMBASUH dan MENCUCI, BERSEDIA kamu?!


“WASH” itu dalam erti kata bahasa malaysia “MEMBASUH” atau “MENCUCI”. Apa yang di basuh atau di cuci itu sering kali saja pada erti perbuatan atau kata kerja.  pakaian / kereta / pinggan mangkuk, ya, yang menjadi rutin harian manusia ketika melaksanakan kerja mencuci atau membasuh. Weekly Art Sharing -WASH, pertama kali aku mendengar maksud yang berlainan erti WASH di Jogjakarta, Indonesia. Diperkenalkan oleh temanku, Kurator muda dari Jogja, Hendra Hirmawan. Ya, aku pasti indonesia itu memang terkenal dengan penggunaan akronim bahasa, menyingkatkan perkataan daripada perkataan yang lain menjadi perkataan yang lain maksudnya. Aku di bawa oleh Hendra sewaktu di jogja tahun lepas, untuk mendekati perupa-perupa muda yang menggelarkan diri mereka sebagai TITIK LENYAP. Anak-anak muda ini masih belajar kesemuanya dan menuntut di Institut Seni Indonesia (ISI) berlatar belakang bidang pendidikan yang berbeza, ada dari seni murni, seni muzik dan seni seramik. Petama kali duduk berjumpa, anak-anak muda ini sedang membincangkan perkara yang akan dan sedang dilaksanakan untuk prorgam WASH besok malam. Hendra menjadi kurator pada acara program ini. Aku tidak mahu turut serta dalam perbincangan mereka, tetap sekadar pendengar, memerhati dan mendokumentasi gambar-gambar perbincangan mereka. Pada waktu itu, aku masih kabur dengan program WASH ini, apa sebenarnya inti kepada WASH ini, adakah sekadar berpameran sepertimana yang biasa aku lihat sebelum ini?, atau ada yang lebih menarik untuk aku pelajari dari WASH ini?. Sebelum pulang anak-anak ini hidangkan aku dan hendra makan makanan diatas daun pisang, nasi, sayur kangkong dan tempe, serta air tea panas, sungguh menarik, pengalaman budaya makan yang baru aku lihat, sangat mudah dan simple, dan yang paling penting kenyang kerana makan di restoran besar juga belum tentu kenyang dan terlalu banyak aturan serta kurang rasa.
makan beramai-ramai



Kurator Muda Jogjakarta. Hendra Hirmawan

Malam besok tiba hari ini, aku dan hendra kembali ke tempat anak-anak muda yang kami jumpa semalam siang. Mulanya agak sepi, tapi makin menjelang malam, makin ramai yang hadir. Hendra memberi ucap aluan kepada tetamu yang hadir, sangat santai, semacam sebuah acara di kampung, datang dan duduk bersila. Selanjutnya, acara diteruskan, hendra menyerahkan kepada dua orang perupa muda yang siap bersama slide dan projektor untuk mula berbicara. Apa yang mereka bicarakan?, ya, mereka bicarakan karya-karya mereka, bagaimana ideanya diperolehi, bagaimana teknik pembuatan karyanya dan apa saja tentang karya yang mereka cipta dan citrakan itu diselang seli dengan gambar-gambar slide serta gelak ketawa melihat pengelaman bekerja seni. Cukup sekadar gambar slide?, tidak, sebenarnya mereka sedang berkongsi, berkongsi apa?, berkongsi pengalaman mereka dan berkongsi naratif kerja seni mereka. Untuk siapa?, untuk mereka yang hadir, untuk apa?, untuk menjadikan mereka itu orang yang lebih bertanggungjawab dalam seni, orang yang professional dalam kerja seni, orang yang faham tentang kerja seni atau apa yang di lakukan, orang yang memperjuangkan seni ke jalan yang mahu mereka tuju, dan sebagai orang/perupa muda yang akan melangkah ke alam mainstream dalam bidang seni rupa. Mereka telah bersedia!.
















Selesai saja acara tadi, acara selanjutnya adalah melihat pameran dan karya. Tempat pamerannya sangat senang, di sebelah tempat bicara tadi iaitu bekas tapak musollah (surau). Dari di biar kosong, memang elok di isi dengan pameran, tidak perlu pun ke ruang galeri nasional atau galeri komersial, kerana itu bukan tujuannya. Yang penting ruang itu digunakan sebaik mungkin, untuk tujuan yang murni. Sebelum di benar melihat pameran, kami di sajikan dengan persembahan monolog, muzik dan nyanyian. Kesemua anak muda ini dari kumpulan yang sama, sangat berbakat dan menyatu  dalam kerja berkesenian. Tidak perlu wang besar untuk menguruskan acara perasmian, cukup dengan terhiburnya hati pengungjung dengan monolog dan puisi yang indah, lagu irama yang asyik dialun dengan suara merdu. Mereka bersedia dalam persembahan tersebut!.


                                                                                                                                                                Selesai acara persembahan, sekarang masanya apresiasi seni, karyanya sudah terpamer, lengkap, yang sesuai digantung, di gantungkan, yang sesuai di atas padestal, diletakkan. Labelnya jelas dengan tata nama, tajuk, medium dan tahun. Mereka bersedia pamerkan karya mereka!. Sebaik selesai acara apresiasi karya di ruang pameran, kami kembali ke ruang bicara. Hendra kembali memangku tugas untuk memulakan sesi kritik, diskusi dan unjuran. Seorang demi seorang daripada para hadirin diminta untuk bercakap, menyampaikan pandangan dan cadangan. Dua orang perupa muda itu sebenarnya sedang diuji, mencuba menjawab persoalan-persoalan kritis yang ditujukan. Aku juga tidak terlepas diminta oleh hendra untuk bercakap, bertanyakan soalan dan memberikan pandangan. Apa yang menarik dalam sesi diskusi ini, anak-anak muda ini sedang diuji ketahanan mental mereka untuk menjawab soalan-soalan yang juga datang dari anak-anak muda dan perupa-perupa senior mereka. Ini pernah aku lalui dalam sesi kritik sewaktu belajar dalam bidang seni halus dahulu, agak mengecutkan perut dan seram sejuk badan kerana bimbang dengan persoaln-persoalan yang ditujukan oleh para pensyarah. Lihat, melalui WASH, acara seperti ini ternyata bukan sahaja di ruang pembelajaran universiti sahaja di gunakan, tetapi di ruang yang lebih terbuka, ruang awam dan lebih berani. Ini proses pembelajan informal, mereka sedang di basuh dan di cuci, mereka sangat bersedia!. 

Acara ini berlanjutan sehingga jam 10 malam sebelum di tutup tirainya oleh Hendra sendiri. Program WASH telah membasuh dan mencuci, tetapi bukan pada pakaian atau kereta atau pinggan mangkuk atau benda-benda, tetapi membasuh dan mencuci pada mental dan juga fizikal. Pada mental dan fizikal mereka yang sentiasa harus bersedia dalam aturan menguruskan acara pameran, dalam aturan menguruskan persembahan,dalam aturan menyediakan makan minum yang sederhana untuk teman-teman yang hadir,  dalam aturan menjawab persoalan-persoalan kritis dan menerima kritikan dari teman-teman, dalam aturan menjadikan program WASH ini bermanfaat dan bermakna kepada diri mereka, pengunjung dan masyarakat. WASH mengajar anak-anak muda ini untuk terus bersedia dan maju dalam bidang dunia seni rupa, tanpa ambil peduli akan ketakutan, kata-kata penghinaan, kritikan, atau apa saja kuasa negatif yang hadir. Tahniah Hendra dan WASH, semoga anak-anak muda ini terus dan terus menjadikan keyakinan sebagai asas kepada perjuangan dunia seni mereka. WASH tidak sekadar membasuh dan mencuci anak-anak muda ini, tetapi juga turut membasuh dan mencuci aku. INI ACARA PERSEDIAAN!, ini budaya pembelajaran WASH.

Penulisan ini dihasilkan untuk tujuan pernerbitan buku program WASH dan merupakan lanjutan daripada lawatan penulis ke Jogjakarta, Indonesia.