Thursday, February 16, 2012

SIAPA SAYA



Jaiamah bt Yunus(Emak) melahirkan saya pada tanggal 15 Disember 1980 di Hospital Besar Kuala Lumpur. Lantas untuk menjadi manusia sempurna yang punya nama, makanya Emak dan Ayah saya memberikan nama Erry Arham bin Azmi. Selanjutnya Tuhan memberi ruang kepada saya untuk menerima pelajaran secara formal dalam bidang kesenian di Institut Teknologi MARA pada Disember 1998 (Sekarang Universiti Teknologi MARA), yang mana jurusan di tawarkan adalah dalam pengkhususan Seni Halus walaupun sebenarnya permohonan saya adalah didalam pengkhususan Seni Grafik. Tidak langsung saya membayangkan atau memahami apa yang berada di dalam Seni Halus sehinggalah saya mengalaminya dan melaluinya sendiri dan seterusnya menamatkan pengajian sehingga mendapat Ijazah Sarjan Muda Seni Halus (Am) pada 2003 dan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) pada tahun 2004.
Apabila tamat pengajian saya mencuba untuk menjadi perupa dan menghasilkan karya dengan kepelbagaian jenis medium demi meletakkan diri dalam arena seni rupa di Malaysia dan juga yang mampu menembusi nilai komersial. Aktiviti- aktiviti berpameran yang bermula sekitar 1999 diteruskan sebagai satu usaha untuk menjadi perupa terkenal satu hari nanti, namun tidak semua cita-cita dan usaha itu mampu dikecapi tanpa ketentuannya. Kerana Tuhan itu maha adil dengan menjadikan setiap manusia itu punya rezekinya masing-masing, Balai Seni Lukis Negara ( sekarang Balai Seni Visual Negara) telah menggajikan saya untuk menimba pengalaman bekerja di dalam menguruskan perihal seni rupa di Malaysia bermula pada 1 Disember 2004. Bermula dari tarikh itu sehinggalah 1 April 2010 saya telah menimba pengalaman di bahagian dokumentasi, korporat dan pameran di BSVN dengan gelaran Penolong Kurator (PK). Ketika menjadi PK di BSVN saya juga mula mencuba  menulis perihal aktiviti seni rupa yang berlaku dan antara penulisan tersebut telah di terbitkan di Malaysiakini.com dan Majalah SET dan SENIKINI(terbitan BSVN) dan katalog penerbitan Galeri Swasta, melebihi dari itu, saya mencuba-cuba untuk menjadi kurator dengan mengkurasikan sebuah pameran OuterinterX di 360 galeri, anak syarikat Galeri Chandan. Saya seterusnya menjadi Kurator sepenuh masa di BSVN bermula pada 1 April 2010, yang mana kerja kurasi pertama saya di BSVN adalah bermula dengan pameran NEGARAKU - Pameran Solo Zulkifli Yusoff, Selanjutnya Pameran Koleksi Himpunan Tetap BSVN - Back Then This Days dan Creative Marketplace bersempena World Islamic forum, Mengkoordinasikan Anugerah Bakat Muda Sezaman 2010, dan Co-kurasi pameran WORKERS bersama Kurator Tan Sei Hon. Sepanjang penglibatan saya sebagai Kurator di BSVN, saya juga pernah menghadirkan diri di 6th Asean Museum Curators Conference, Bangalore India dan membentang beberapa kertas kerja berkaitan seni rupa Malaysia pada persidangan dan seminar yang di anjurkan Universiti di serata Malaysia. Secara tidak sedar sebenarnya saya telah meninggalkan praktik kreasi karya seni rupa jauh kebelakang dan meletakkan kerja-kerja kuratorial saya di hadapan. Pada tahun 2010, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mempelawa saya untuk mendidik pelajar-pelajar fakulti seni halus secara sambilan bagi mata kuliah persembahan studio yang mengajar kerja-kerja pengurusan studio. Doa dan kehendak seorang ibu yang mahukan anaknya menjadi seorang guru akhirnya termakbul juga apabila saya mengambil keputusan untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang Akademik dan menjadi Pensyarah sepenuh masa pada 22 Julai 2011 di ASWARA. keputusan ini bukan bertujuan mematikan praktik kerja kuratorial saya, sebaliknya saya melihat ada peluang dan cabaran kerana ASWARA juga punya satu ruang galeri yang harus diusahakan, dan atas landasan itulah saya berhijrah ke ASWARA selain mahu berkongsi-kongsi pengalaman bersama pelajar di ASWARA dalam mata kuliah Asas Seni, Persembahan Studio, Penyelidikan Studio, Kerjaya Seni, dan Teori Warna buat masa ini dan pernah juga mengajar mata kuliah Sejarah Seni di UNISEL (Universiti Selangor) secara sambilan pada satu ketika. Dalam memajukan diri dan mengikut aturan akademik, saya juga dalam usaha menamatkan Sarjana Pendidikan Seni saya di Universiti Pendidikan sultan Idris (UPSI) yang telah bermula pada tahun 2009 sehingga ke hari ini, yang mana pengkajian saya adalah berfokus kepada Peranan Kuratorial di BSVN yang diharapkan disertasinya dapat di habiskan pada tahun 2012 ini. Sebagai penamat pada biografi saya ini, perlulah saya tekankan bahawa saya cumalah manusia yang sentiasa mahu mengenal, mengetahui, mempelajari dan menghargai, dan yang mana semua ketentuan itu telah diatur oleh Allah, Terima kasih Tuhan, saya bukan siapa-siapa.